• Our Location

MISZ HOME

Perjalanan menuju ke rumah pesakit dari pejabat sejauh 52 km diisi dengan bicara hati berjuta rasa. Hampir satu jam perjalanan, tiba jua ke destinasi. Dari luar rumah kelihatan Makcik Melur (bukan nama sebenar) tersenyum melihat kelibatku bersama alatan-alatan fisio.

Saya: Assalamualaikum. Macam mana keadaan makcik hari ini? Lama kita tak jumpa. (4 hari off fisio sebab cuti)

Makcik: Waalaikumussalam. Rindu la doktor. Lama tak jumpa. Makcik buat kerja sekolah yang doktor suruh.

Saya: Alooo. Rindu ye. 🥺 Makcik, hari ini kita jalan lebih sikit ye. Saya ada bawak basikal juga, bagi makcik warm up sekejap.

Bila dah mula sesi rawatan berlaku lah perbualan-perbualan ringan yang menyentuh hatiku (ye, aku mudah tersentuh dengan sekecil-kecil perkara akhir-akhir ini).

Makcik: makcik suka sangat doktor (fisio, tapi biasa lah pesakit akan panggil doktor) datang. Hari hari makcik tunggu doktor. Nak jalan dengan doktor. Tengok ni doktor makcik dah okay kan? Boleh duduk banyak jenis kerusi hari ini.

Saya: Mengangguk. Alhamdulillah, makcik. Makcik kuat semangat. Makcik usaha, Allah beri. Allah sayang kita ni.

Makcik: Alhamdulillah. Ya Allah permudahkanlah hamba-Mu untuk jalan semula. Jadikanlah mudah untuk kami. Jadikanlah mudah ya Allah.

Aku angkat tangan amiinkan doa bersama pesakit. Berkali kali makcik ucap syukurnya pada Allah, dan terima kasih pada aku. Katanya, setiap hari nak aku datang. Tapi jarak rumahnya dari pejabat tak mengizinkan aku untuk menunaikan hasratnya. Setiap satu peningkatannya, dia hargai sehingga hari ini sesi ke 8 bersamaku, alhamdulillah makcik Melur sudah boleh berjalan menggunakan walking frame dengan izin Allah. (Ini antara elemen penting dalam rehab, iaitu motivasi diri pesakit dan menghargai setiap potensi diri). Ingat lagi waktu sesi pertama jumpa makcik Melur, berbaring. Tak mampu nak pusing badan. Apalagi untuk bangun dari katil, tiada daya dirinya.

Pernah makcik tanya aku, dia selalu lupa bacaan dalam solat. “Takpe ke macam tu”. Jawabku, “makcik Allah tahu makcik dah cuba yang terbaik. Makcik mintak dekat Allah pulangkan kembali ingatan makcik, supaya makcik dapat solat dengan sempurna. Nanti solat dengan anak ye, boleh ikut dia baca.” Setiap kali rehat yang diselang seli dengan latihan pemulihan, makcik sebut alhamdulillah. Dengan nada berbisik, “alhamdulillah, banyak dah makcik dapat. Alhamdulillah, tak lama dah makcik nak pulih kan doktor?” Syukur wujudnya pelitup muka, tak nampak hidung yang dah start merah, tambah lagi dengan cermin mata yang mampu menutupi mataku yang mula berkaca. Gitulah, jika Allah berkehendak tiada yang dapat menghalang. Bahagia itu sederhana.

Andai tiada lagi yang mampu membuat diriku bahagia di dunia imi, biarlah aku menjadi insan membawa kebahagiaan buat sekeliling. 🤍 Saya sayang pesakit saya.

:::: Nota kaki: doakan pesakit-pesakit saya cepat sembuh ye. Untuk makcik Melur, 7 sesi berbaki. Harapan saya supaya dia boleh berjalan tanpa tongkat. Doakan ye. ☺️

By Amirah Afifah – Terapis MISZ HOME
18 September 2021

SHARE THIS POST